PIHAK pengurusan Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd akan memanggil semua pegawai dan pemain Terengganu FC ll (TFC ll) yang terlibat dalam insiden pergaduhan ketika perlawanan menentang Penang FC pada Rabu bagi mendapatkan penjelasan penuh.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, berkata pihaknya amat kesal dengan kejadian tersebut yang disifatkan sebagai tidak profesional dan memalukan industri bola sepak.
"Selepas insiden tersebut, pihak pengurusan TFC Sdn Bhd telah berjumpa dengan pihak pengurusan Penang FC bagi memohon maaf atas kejadian itu dan kami juga mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Insiden pergaduhan antara TFC ll dan Penang FC itu tercetus dalam perlawanan terakhir pertandingan empat penjuru bagi merebut Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.
Susulan aksi panas tersebut, seorang pemain TFC ll, Ridzuan Razali telah dikenakan kad merah oleh pengadil sebelum perlawanan bersambung ke babak kedua.
Bagaimanapun keengganan pemain Penang FC meneruskan permainan menyebabkan pengadil menamatkan perlawanan dengan memberi kemenangan kepada TFC ll, yang ketika itu mendahului 1-0.
"Pemain kami telah dihukum kerana mengasari salah seorang pemain Penang FC hingga menyebabkan kecederaan. Kami mendoakan semoga pemain tersebut tidak mengalami kecederaan serius dan mampu meneruskan karier sebagai pemain profesional,” katanya Ab Rasid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram