Import semula lembu Thailand dijangka Februari


  • Massa
  • Jumaat, 14 Jan 2022

PENYAKIT LSD yang dihidapi lembu ternakan di Thailand menyebabkan pengimportannya ke negara ini digantung sementara. — AZHAR MAHFOF/The Star

PENGIMPORTAN semula lembu dari Thailand ke Malaysia dijangka bermula Februari ini, kata Datuk Dr Noorlizan Mohd Noor.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu berkata, pada dua minggu pertama bulan Januari, pihaknya sedang memuktamadkan sijil veterinar yang akan dikeluarkan Thailand, susulan penambahan syarat-syarat import yang dipersetujui bersama pihak berkuasa dari kedua-dua negara.

"Resumption (penyambungan semula) untuk pengimportan daripada Thailand sedang di peringkat akhir dan insyaALLAH jika tiada halangan daripada kedua-kedua pihak authority (berkuasa), kemasukan dah boleh resume (diteruskan) pada Februari 2022," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Noorlizan berkata, apabila pihaknya menerima laporan terdapat ternakan dalam stesen kuarantin yang mempunyai simptom-simptom penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) pada April tahun lalu, pemantauan dilakukan bukan sekadar di stesen kuarantin, sebaliknya di semua ladang-ladang milik pedagang dan pengimport lembu yang mempunyai hubung kait dengan pemgimportan lembu sebelum itu.

Hasil daripada pemantauan tersebut, katanya, pihaknya mendapati sememangnya terdapat lembu-lembu di dalam kandang yang menghidap penyakit itu.

Katanya lagi, setelah kajian dilakukan, punca kemasukan LSD ke dalam negara ini adalah berpunca daripada kemasukan lembu daripada Thailand.

Tambahnya, bagi mengelakkan bebanan kepada ternakan Malaysia yang telah mendapat LSD, pihaknya memutuskan untuk melakukan penggantungan sementara pengimportan lembu daripada Thailand.

"Jadi, proses penggantungan ini akan melibatkan negotiation (rundingan) antara kedua-kedua pihak berkuasa veterinar iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Pembangunan Ternakan (DLD) Thailand, kerana kita telah menambah beberapa syarat tambahan ke atas protokol lembu hidup dari Thailand.

Jelasnya, antara syarat tambahan yang dikenakan adalah dengan memanjangkan tempoh kuarantin lembu yang diimport dari Thailand daripada 14 hari kepada 28 hari.

Selain itu, katanya, pihaknya juga meminta semua lembu yang diimport dijalankan pemeriksaan fizikal sebelum dilepaskan ke Malaysia.

"Semua ternakan dalam kandang pengeksport dan kawasan sekitar, yang mana sumber yang nak dihantar ke Malaysia perlu dan telah diberi vaksinasi LSD.

"Menjalankan ujian untuk mengesan atau pengesanan kepada kehadiran virus LSD pada ternakan-ternakan tersebut untuk menguji tahap antibodi pada lembu-lembu yang telah diberi vaksinasi," katanya.

Melihat syarat itu, katanya, pihak berkuasa Thailand sedang mengkaji dan menilai sama ada mereka boleh menerima syarat yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia menerusi langkah Suppress, Substitute, Sooth (3S).

Katanya, pihak berkuasa Thailand bersetuju dengan tiga syarat utama yang dikenakan, namun mereka meminta Malaysia untuk melihat kembali syarat bagi pengujian antibodi vaksinasi LSD pada lembu-lembu eksport.

"So kita sudah study (kaji) dan teliti balik permintaan daripada pihak Thailand dan sekarang kita tengah finalize (muktamadkan) kepada sijil veterinar yang akan dikeluarkan oleh pihak Thailand," jelasnya lagi.

Menjawab soalan mengenai ura-ura piket yang bakal diadakan di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan penghantaran memorandum kepada menteri berkaitan, Noorlizan berkata, sekiranya perkara itu benar, pihaknya akan menyiasat perkara itu selain mendapat maklumat daripada menteri tersebut.

"Setakat ini pada peringkat saya di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kami belum menerima apa-apa memorandum lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram