Harga lembu bakal naik jika tak import dari Thailand


  • Massa
  • Sabtu, 15 Jan 2022

DAGING dari Australia masih boleh diimport ke negara ini ketika pengimportan lembu dari Thailand ditangguhkan sementara. —The Star

SEKIRANYA lembu dari Thailand masih tidak boleh dibawa masuk di negara ini, maka bekalan haiwan itu akan berkurangan ketika permintaan meningkat semasa hari perayaan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Naim Beef, Muhamad Raziz Rahim berkata, apabila permintaan terlalu tinggi harga juga sekali gus akan terus melonjak naik.

Katanya, orang ramai akan lebih memilih daging segar untuk juadah mereka pada Hari Raya Puasa.

"Tapi kalau tak ada pilihan terpaksalah kita pakai frozen thing (daging sejuk beku), maksudnya lembu yang diimport.

"Manakala orang ramai juga akan lebih prefer (memilih) lembu hidup pada Hari Raya Korban sebab setiap tahun satu negeri akan korbankan lebih 2,000 ekor. Bayangkan kalau 14 negeri kita tengok berapa banyak permintaan yang masuk," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Muhamad Raziz berkata, stok lembu dari Australia juga akan diimport ke negara ini ketika pengimportan haiwan itu dari Thailand ditangguhkan sementara.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan pengimport dari Australia akan memberi pelbagai alasan kononnya stok lembu tiada.

Hal ini kerana, dakwanya, mereka akan menyimpan stok dan hanya membenarkan pengeluarannya apabila tiba musim perayaan untuk membuat lonjakan harga.

"Sekarang harga mungkin RM40 atau RM35, tapi mungkin masa raya nanti harga akan pergi sampai RM45 hingga RM48. Sebab importer (pengimport) yang main game (permainan).

"Kalau border (sempadan) tak buka hanya satu company (syarikat) dekat Malaysia yang bawa barang dari Australia. Dia akan control (kawal) harga sebab tak ada competitor (persaingan)," katanya.

A cow is affected with Lumpy Skin Disease. Ministry of Agriculture

PENYAKIT LSD yang dihidapi lembu-lembu di Thailand menyebabkan pengimportannya ke negara ini ditangguhkan sementara. — Agensi

Terdahulu, pengimportan semula lembu dari Thailand ke Malaysia dijangka bermula Februari ini, kata Datuk Dr Noorlizan Mohd Noor.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu berkata, pada dua minggu pertama bulan Januari, pihaknya sedang memuktamadkan sijil veterinar yang akan dikeluarkan Thailand, susulan penambahan syarat-syarat import yang dipersetujui bersama pihak berkuasa dari kedua-dua negara.

"Resumption (penyambungan semula) untuk pengimportan daripada Thailand sedang di peringkat akhir dan insyaALLAH jika tiada halangan daripada kedua-kedua pihak authority (berkuasa), kemasukan dah boleh resume (diteruskan) pada Februari 2022," katanya.

Menyambut baik perkara itu, Muhamad Raziz berkata, perkara tersebut sememangnya dinanti-nantikan oleh kebanyakan penternak.

Beliau berkata, pengimportan semula lembu itu dilakukan disebabkan penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) yang menjangkiti haiwan ternakan itu sudah reda.

Katanya, perkara itu penting disebabkan para penternak ketika ini kekurangan stok lembu, sekali gus harga tempatan bagi haiwan itu melonjak naik.

"Jadi, nanti kita boleh stabilkan balik harga daging. Sebab sebelum Thailand tutup sempadan sebab LSD, harga daging mentah terus melonjak naik sebab kekurangan bekalan dan permintaan tinggi.

Bercakap mengenai harga lembu dan daging mentah sekiranya ia boleh diimport semula dari Thailand, beliau berkata, ia bergantung kepada orang tengah dan bukannya ditentukan oleh pembekal.

Katanya, harga lembu di Thailand adalah berpatutan, namun ia menjadi mahal disebabkan oleh orang tengah.

"Thailand pengeksport lembu terbesar. Jadi bila dekat sana bersaing dari segi harga yang agak reasonable (berpatutan).

"Tapi masalahnya, apabila sampai ke Malaysia, middle man (orang tengah) yang menguruskan harga dengan alasan dekat sana walaupun sempadan sudah buka tapi ada isu LSD lagi.

"Mereka akan mainkan sentimen untuk naikkan harga. Jadi orang ramai kena berhati-hati," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram