SELEPAS bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan positif Covid-19, kini Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar juga disahkan positif wabak tersebut dan mengalami gejala ringan.
Menerusi catatan di akaun Facebook miliknya, Nurul Izzah berkata, dia mengetahui dirinya positif selepas menjalankan ujian antigen dan PCR pada Rabu.
“Selain daripada simptom ringan biasa (lesu, hidung berair dan sakit otot/sendi), Alhamdulillah kami dalam keadaan baik.
"Walaubagaimanapun, Covid-19 ternyata bukanlah situasi yang mudah untuk dilalui. Ia mengimbau memori ketika saya mengalami demam denggi, walaupun tidak begitu teruk untuk dibandingkan," katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menekankan bahawa semua rakyat perlu mendapatkan vaksinasi sebagai perlindungan diri untuk melawan Covid-19.
"Ternyata, amat penting untuk kita terus dilindungi menerusi vaksinasi. Syukur, kita semua telah berjaya melengkapkan dos vaksinasi dan saya berharap agar kesemua kita dapat diberikan tahap perlindungan yang sama, InshaaAllah," katanya.
Beliau turut menasihatkan mereka yang didapati positif Covid-19 supaya menyimpan diari mengenai keadaan kesihatan mereka.
"Kami telah menyiarkan kemas kini harian kami di MySejahtera, yang termasuk video pernafasan dalam dan penggunaan oksimeter yang betul," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram