Operator kilang maut dihempap kotak kaca 5,600 kg di Jasin


  • 112
  • Rabu, 09 Feb 2022

MANGSA meninggal dunia selepas dihempap kotak berisi kaca seberat 5,600 kg. — Ihsan polis

SEORANG operator sebuah kilang di kawasan Perindustrian Lipat Kajang di Jasin, Melaka, maut dihempap kotak berisi kaca seberat 5,600 kilogram (kg) ketika sedang bekerja pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, mangsa, Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, disahkan meninggal dunia selepas cedera parah di seluruh anggota badan dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam sebuah kontena di kilang tersebut.

"Mangsa yang sedang menjalankan kerja-kerja berkenaan dikatakan terlanggar kayu penahan di dalam kontena menyebabkan kotak kaca itu menghempapnya sehingga patah kedua-dua kaki, tengkuk serta cedera pada beberapa anggota badan," katanya dalam satu kenyataan.

Mispani berkata, mayat lelaki yang masih bujang berasal dari Tangkak, Johor itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.

"Proses bedah siasat sedang dijalankan dan pengecaman mangsa juga sudah dibuat oleh bapanya dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram