Buka sempadan bantu pulih sektor pelancongan perubatan


  • Massa
  • Rabu, 09 Feb 2022

PEMBUKAAN semula sempadan bantu memulihkan pelbagai sektor ekonomi negara. — Gambar hiasan/Reuters

PEMBUKAAN semula sepenuhnya sempadan negara akan membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia untuk menjalani rawatan di hospital yang terhenti sejak awal 2020.

Menurut Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, langkah itu akan membantu memulihkan sektor pelancongan perubatan yang menjana pendapatan negara sebanyak RM1.7 bilion pada 2019.

Jelas beliau, persatuan itu mempunyai 151 hospital sebagai ahli di seluruh negara dan majoriti daripada hospital berkenaan merawat pelancong perubatan, terutama dari negara jiran.

"Bagaimanapun, hospital swasta akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung saringan pelancong perubatan sebelum menerima pelancong perubatan sebagai pesakit.

"Kami hanya menerima pelancong perubatan yang divaksin sepenuhnya dengan dos penggalak (sebaik-baiknya) supaya kurang risiko bagi mereka mengalami sakit teruk sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 semasa menjalani rawatan dan seterusnya melindungi penyedia penjagaan kesihatan tempatan kita," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada kerajaan supaya sempadan negara dibuka seawal 1 Mac ini, tanpa keperluan kuarantin wajib.

Dalam pada itu, Dr Kuljit berkata, hospital swasta di negara ini bersedia menerima pesakit dari hospital awam sekiranya berlaku lonjakan kes pesakit Omicron di fasiliti kerajaan.

Ujarnya, semasa kemuncak kes Covid-19 varian Delta tahun lepas, 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital KKM.

"Kami yakin untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban seperti yang disarankan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada 7 Februari lalu. Hospital swasta dimasukkan dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas Covid-19 (RRTF) Kebangsaan untuk memudahkan proses ini," tambahnya.

Selain itu, beliau juga menggesa orang ramai agar segera mendapatkan dos penggalak mereka.

"Ia terbukti di seluruh dunia, vaksinasi lengkap dengan dos penggalak telah mengurangkan kesan lebih teruk wabak dan membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan sempadan antarabangsa,” menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram