Kes tetap naik walaupun sempadan tak dibuka


  • Massa
  • Rabu, 09 Feb 2022

KIT ujian kendiri Covid-19 kehabisan stok di sebuah kedai ekoran gelombang varian Omicron akhir-akhir ini. — The Star

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) pada Selasa mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

Tambah beliau, pembukaan sempadan tidak terhad kepada negara tertentu sebaliknya terbuka untuk semua negara selain langkah itu dijangka memacu semula pemulihan ekonomi Malaysia.

Mengulas berhubung keputusan MPN itu, pakar kesihatan awam, Dr Malina Osman berkata, langkah membuka sempadan negara pada waktu ini boleh diteruskan.

"Dari segi kesihatan awam, walaupun kes baharu dan aktif meningkat, namun pola yang ditunjukkan kekal ringan dan tidak membebankan sistem perkhidmatan kesihatan awam.

"Peningkatan kes dijangka akan terus berlaku sehingga sejumlah populasi mendapat vaksin atau jangkitan secara semula jadi.

"Apa yang penting pada masa ini adalah mereka yang belum divaksin atau belum mendapatkan dos penggalak perlu segera mendapatkannya.

"Risiko komplikasi dan kematian yang tinggi dalam kalangan mereka belum divaksin atau belum lengkap vaksinasi serta dalam kalangan golongan berisiko," ujarnya kepada Majoriti.

Negara terus mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 pada Selasa iaitu sebanyak 13,944, sekali gus melepasi angka 10,000 dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, peningkatan itu berlaku disebabkan oleh gelombang varian baharu, Omicron dan dijangka kes kembali menurun dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram