Rayuan Khairy berhubung saman fitnah Anwar terhadapnya ditolak


MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan Khairy (kanan) bagi mencabar saman fitnah Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral yang difailkan 14 tahun lepas.

MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan Khairy Jamaluddin bagi mencabar saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral yang difailkan 14 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa tiada kesilapan boleh merayu yang memerlukan campur tangan rayuan.

Goon, yang membacakan keputusan itu berkata kenyataan yang dipertikaikan oleh Khairy, dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna sejadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.

"Hakim perbicaraan yang arif telah mengambil kenyataan yang dipersoalkan dalam konteks termasuk kiasan yang digunakan dan yang merumuskan bahawa makna biasa dan sejadi bagi pernyataan yang dipersoalkan dengan implikasi dan/atau inferens, kedua-duanya mampu menjadi, dan sebenarnya, memfitnah, seperti yang dinyatakan dalam penghakiman hakim perbicaraan,” katanya.

Mengenai kuantum ganti rugi RM150,000 yang diberikan kepada Anwar, Goon berkata mahkamah tidak mendapati ganjaran itu secara nyata berlebihan dan tiada justifikasi untuk sebarang campur tangan rayuan.

"Oleh itu kami mendapati tiada merit untuk rayuan ini, dan oleh itu rayuan ditolak. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi disahkan, " kata Goon yang turut menganugerahkan kos sebanyak RM50,000 kepada responden (Anwar) dalam prosiding secara maya pada Isnin.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya berhubung saman fitnah oleh Anwar.

"Kami mendapati tiada kesilapan yang boleh dirayu di pihak hakim perbicaraan dalam menjalankan budi bicaranya untuk tidak membenarkan permohonan perayu meminda semula pernyataan pembelaannya kerana terlalu lewat pada hari selepas perbicaraan berakhir untuk membuat pindaan," kata hakim dan memerintahkan Khairy membayar RM10,000 kepada Anwar.

Pada 7 Mac 2008, Anwar, yang merupakan presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya semasa ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun yang sama yang membawa kepada penyiaran klip video di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan mendapati Khairy bertanggungjawab atas fitnah dan oleh itu memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Hakim juga menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya dengan mengatakan bahawa kenyataannya adalah komen yang wajar.

Khairy kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tetapi pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan telah membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

Anwar diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Khairy. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Khairy, Anwar, fitnah, Lembah Pantai, rayuan, keputusan