Penduduk Kampung Kebun Baru dibenar pulang ke rumah


  • Massa
  • Isnin, 07 Feb 2022

PEKERJA Majlis Bandaraya Seberang Perai melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung pada 22 Januari lalu. — Bernama

PENDUDUK Kampung Kebun Baru, di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang sebelum ini diarahkan berpindah berikutan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram pada 12 Januari lepas, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai hari Isnin, berikutan kualiti udara di sekitar kawasan itu semakin baik.

Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berkata, bagaimanapun, penduduk di Ladang Byram dinasihatkan tidak kembali ke rumah dan pemantauan akan diteruskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sehingga bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh.

“Penduduk di sekitar Daerah SPS dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri dan sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat, dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dipindahkan sementara ke lokasi yang selamat, berikutan ruang udara kawasan kediaman mereka dipenuhi asap berbahaya.

Lebih 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram yang terbakar sejak 12 Januari lepas akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1 Februari lepas.

Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilapor berlaku pada kira-kira 5 petang dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram