Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 0.5 peratus


  • Bizz
  • Isnin, 07 Feb 2022

INDEKS penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat sebanyak 1.5 peratus. — The Star

INDEKS Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat sebanyak 0.5 peratus untuk suku tahun keempat 2021 kepada 110.7 berbanding 110.1 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

IHPRP merupakan indeks untuk mengukur purata perubahan harga perkhidmatan yang dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor utama yang menunjukkan peningkatan adalah penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 1.5 peratus dan pengangkutan (0.7 peratus).

Beliau berkata, indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak yang meningkat sebanyak 1.8 peratus, turut mendorong kepada kenaikan indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman.

"Susulan penarikan semula sekatan perjalanan dan pembukaan sektor pelancongan yang berkuat kuasa pada pertengahan September 2021 juga mempengaruhi peningkatan bagi subsektor ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagi subsektor pengangkutan, beliau berkata, kenaikan itu didorong terutamanya oleh harga yang lebih tinggi dalam pengangkutan muatan melalui jalan raya dan pengangkutan penumpang udara, masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 0.8 peratus.

Antara subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah aktiviti hartanah (0.6 peratus); pendidikan (0.5 peratus); kesihatan (0.2 peratus) dan profesional (0.1 peratus).

"Bagaimanapun, indeks bagi subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus, manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," jelasnya.

template (80)

INFOGRAFIK IHPRP yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Secara keseluruhan pada 2021, Mohd Uzir berkata, IHPRP meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada 2021.

Beliau berkata, ini bermakna IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun.

Tambahnya, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor pengangkutan (0.8 peratus), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.7 peratus) dan aktiviti hartanah (0.2 peratus).

Katanya lagi, kenaikan dalam subsektor pengangkutan pula disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan penumpang udara, yang mana terdapat peningkatan sebanyak 3.1 peratus berbanding 1.0 peratus yang direkodkan pada suku ketiga 2021.

"Indeks bagi subsektor profesional, pendidikan dan kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

"Namun begitu, indeks bagi kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan sebanyak 2.2 peratus disebabkan oleh penurunan aktiviti perjudian dan pertaruhan, manakala indeks bagi subsektor maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," katanya.

Tambah beliau, Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 sedang dilaksanakan bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

"Jabatan Perangkaan Malaysia amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada pegawai DOSM serta menjayakan survei ini.

"Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram