Kerjasama PH, Muda belum muktamad


  • Politik
  • Isnin, 07 Feb 2022

PERBINCANGAN antara PH dan Muda menjelang PRN Johor belum mencapai keputusan muktamad.

PERBINCANGAN kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk mengenai pembahagian kerusi, masih belum dimuktamadkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PH turut akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam masa terdekat berhubung kerjasama itu sejurus selesai rundingan dengan Muda.

"Kita mahu berbincang dengan semua parti untuk elak pertembungan tetapi buat masa ini perbincangan dengan Muda lebih realistik.

"Jadi kami harap kalau kita berjaya, kita boleh buat barisan atau pentas kerana kita bukan nak menang kerusi sahaja tapi kita nak menang kerajaan. Itu yang rakyat hendak...kita boleh buat perubahan," katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian mengulas mengenai hasil rundingan antara PH dan Muda khususnya membabitkan agihan kerusi.

Sabtu lepas, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata rundingan kerjasama dengan Muda kini di peringkat kepimpinan negeri dan Muda belum memberitahu jumlah kerusi yang dimahukan.

Mengenai Parti Warisan, Guan Eng berkata, semua parti berhak untuk bertanding dalam PRN Johor dan sekiranya ada kerjasama antara PH dan parti itu, ia akan dilakukan secara literal terlebih dahulu.

Terdahulu, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dilaporkan berkata, Warisan bersedia menjadi pengubah keadaan sekiranya parti itu membuat keputusan bertanding dalam PRN Johor.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang dilaporkan sebuah portal antara dasar utama PH ketika mentadbir negara sebelum ini adalah memotong peruntukan tanpa mengambil kira keperluan rakyat, Guan Eng berkata laporan itu tidak benar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

DAP, Lim Guan Eng, MUDA, Warisan, PRN Johor