Kenaikan gaji minimum baharu RM1,500 jejas pemulihan ekonomi — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 06 Feb 2022

KENAIKAN gaji minimum akan menaikkan kos barangan dan perkhidmatan serta kos operasi. — Gambar hiasan/Bernama

PERSEKUTUAN Majikan-majikan Malaysia (MEF) menegaskan situasi sekarang bukan masa yang sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana mereka belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk daripada banjir besar baru-baru ini.

"Lebih banyak usaha sewajarnya dilakukan untuk pemulihan perniagaan dalam sektor swasta di samping mengawal kenaikan kos produk dan perkhidmatan. Kita mesti ingat, kebanyakan perniagaan Malaysia adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 98.9 peratus berada dalam kumpulan ini.

"Jadi, apabila kita bercakap mengenai gaji dan kos, kita mesti memikirkan kelangsungan dan kemampanan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Menurut laporan media tempatan pada Sabtu, pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung 2022.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Tambahnya, PMKS masih menderita dan walaupun berlaku kenaikan kecil dari segi kos perniagaan, ia akan memburukkan lagi nasib mereka dan perniagaan mungkin ditutup, ditambah pula dengan kenaikan RM300/RM400 sebulan selain gaji minimum nasional sedia ada.

Jelas Syed Hussain, gaji minimum RM1,500 akan menaikkan kos barangan dan perkhidmatan selain kos operasi.

Justeru, sekarang bukan masanya untuk melaksanakan sebarang kenaikan ke atas gaji minimum.

"Gaji minimum RM1,500 kebanyakannya akan diberikan kepada buruh asing memandangkan rakyat tempatan sudah dibayar gaji yang lebih tinggi, ini sekali gus menyebabkan pengaliran keluar wang akan terus meningkat.

"Seorang pekerja yang gaji semasanya jauh melebihi gaji minimum boleh hilang semangat sekiranya tiada pelarasan gaji.

"Sebarang kenaikan ke atas gaji minimum akan memberi manfaat kepada pekerja yang gajinya lebih rendah daripada kadar gaji minimum kebangsaan baharu dan sebahagian besar daripada mereka ialah pekerja asing,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram