Enam mangsa culik teruk dikerjakan, dikurung majikan


  • 112
  • Ahad, 23 Jan 2022

POLIS berjaya menahan sembilan suspek serta menyelamatkan enam mangsa. — Gambar Hiasan

POLIS menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, sembilan suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan manakala sebuah kereta mewah dirampas.

Beliau berkata, polis melakukan serbuan susulan laporan seorang remaja tempatan pada jam 12.20 tengah hari membabitkan pekerja ibunya yang merupakan wanita warga asing, dilarikan oleh dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang menaiki sebuah kereta mewah.

Menurutnya dalam satu kenyataan pada Sabtu, pengadu mendakwa, dia bersama mangsa ketika itu berada di sekitar Damansara Utama sebelum mereka ditarik masuk ke dalam kereta.

Namun, pengadu kemudiannya dibebaskan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mohamad Fakhruddin berkata, kedua-dua suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada jam 5.30 petang hari yang sama.

Mangsa yang dilarikan berjaya ditemukan bersama empat lagi wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah unit pangsapuri perkhidmatan.

Beliau berkata, tujuh suspek terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita ditahan di premis itu dan telah direman lima hari.

Mohamad Fakhruddin berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan mengurung seseorang dengan salah.

Siasatan awal mendapati seorang suspek adalah ejen pekerja asing yang telah memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji.

"Kesemua mangsa dikurung di premis itu selama beberapa hari serta sebahagian daripada mereka juga dikurung kerana cuba melarikan diri daripada majikan," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram