Pecat pekerja tanpa sebab, majikan di Melaka diarah bayar pampasan RM23,493.26


KAKITANGAN JTK hampir melelongkan bengkel terbabit pada Rabu selepas majikan berkenaan didapati ingkar arahan Mahkamah Buruh. — Facebook

MAHKAMAH Buruh Melaka memerintahkan seorang majikan membayar pampasan berjumlah RM23,493.26 kepada pekerjanya yang berhentikan tanpa alasan munasabah.

Menurut Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, Rohana Bakar, majikan terbabit mendakwa bekas pekerjanya iaitu seorang mekanik berusia 36 tahun, diberhentikan kerja dengan alasan dia mempunyai masalah disiplin.

Bagaimanapun majikan berkenaan gagal membuktikan kesalahan tersebut di Mahkamah Buruh pada 22 Januari lalu.

Jelas Rohana, syarikat bengkel tayar dan membaiki kenderaan itu kemudian diarahkan untuk menyelesaikan bayaran terbabit kepada bekas pekerja yang ditamatkan khidmat tanpa mengikut undang-undang perburuhan negara.

Namun, tambah beliau, majikan berkenaan didapati ingkar sebelum pihaknya hampir melelongkan bengkel yang terletak di daerah Melaka tengah itu.

"Syarikat itu didapati gagal membuat bayaran kepada bekas pekerjanya seperti diarahkan Mahkamah Buruh.

"JTK Melaka bersama Bailif Mahkamah Sesyen Melaka melaksanakan tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan ke atas syarikat tersebut pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan perlaksanaan untuk melevi dan melelong harta syarikat dilaksanakan di premis majikan terbabit dan perlaksanaan writ dijalankan pada jam 10 pagi Rabu.

Ujar beliau, syarikat tersebut akhirnya terpaksa akur dan menyelesaikan bayaran penuh perintah Mahkamah Buruh sebanyak RM23,493.26 kepada pekerja yang ditamatkan tanpa mengikut undang-undang perburuhan negara pada jam 12.30 tengah hari Rabu.

"Majikan di negeri ini diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang perburuhan negara bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram