Mara pantau 55 MRSM susulan kes Covid-19 di Maktab Tawau


  • Primer
  • Sabtu, 05 Feb 2022

PENGERUSI Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun. — Bernama

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan, di kesemua 55 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara susulan tercetusnya satu kluster Covid-19 baharu di MRSM Tawau, Sabah baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, sehingga kini, seramai 140 pelajar masih dikuarantin akibat dijangkiti, manakala pelajar yang pulih telah dibenarkan pulang.

"Kami sentiasa memantau keadaan anak-anak kita yang masih berada di MRSM, terutamanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu kedua Februari ini.

"Pemantauan ke atas semua pelajar itu akan dilaksanakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, menjelang kemasukan penuh pelajar bagi sesi 2022 ini, Mara turut menyarankan agar pelajar-pelajar yang belum divaksinasi agar masing-masing dapat melengkapkan dua dos, bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak berasa risau dan terus menghubungi pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang situasi semasa, bagi memastikan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan berasa tenang dan tidak tertekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mrsm, mara, kluster, covid-19, azizah mohd dun