SEORANG ahli politik dikaitkan dengan aktiviti penebangan hutan berskala besar pada 1990-an dan rakan sekutunya seperti didedahkan oleh Kertas Panama, sebuah 'shell company' Singapura dan pemilik konsultansi pertanian di Australia didakwa terlibat dalam perjanjian perdagangan karbon yang kontroversi bernilai kira-kira AS$80 bilion (RM334 bilion) di Borneo.
Laporan al-Jazeera mendakwa, perjanjian dimaksudkan itu adalah Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) yang kononnya melindungi dua juta hektar (4.9 juta hektar) hutan di Sabah daripada pembalakan untuk 100 tahun akan datang.
Namun perjanjian berkenaan yang dimeterai pada Oktober antara para pegawai Sabah dan 'shell company' Singapura, dilakukan dengan penuh rahsia dan tanpa usaha wajar yang boleh dipercayai, proses tender atau perundingan awam.
Perkara itu didedahkan oleh para pemimpin Orang Asli, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada al-Jazeera yang menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut selama beberapa bulan.
Sejak awal, NCA memberikan 30 peratus hasil Sabah daripada jualan kredit karbon, dianggarkan bernilai AS$24 bilion (RM100 bilion) untuk sepanjang tempoh kontrak itu, kepada syarikat di Singapura iaitu Hoch Standard yang tidak mempunyai rekod berhubung perdagangan karbon.
"Ia membuatkan saya muak. Saya terlibat dalam perjanjian ini kerana saya tahu bahawa jika kita melakukannya dengan betul, Sabah boleh menjadi peneraju pengewangan (monetisation) modal semula jadi dan kredit karbon di dunia.
"Namun sebaliknya, kita mencipta templat yang boleh digunakan oleh negara lain untuk mencuri dan menyalahgunakan sistem," kata seorang pemberi maklumat yang mengetahui secara jelas perjanjian itu kepada al-Jazeera dan enggan mendedahkan identitinya.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), dianggarkan kira-kira 25,000 penduduk Orang Asli tinggal di hutan simpan di Sabah, dengan jumlah yang tidak didokumenkan menetap di pinggir hutan, sekali gus membentuk 39 kumpulan etnik berbeza.
Namun pemimpin Orang Asli yang tinggal di negeri berkenaan berkata, mereka tidak mengetahui tentang perjanjian terbabit.
"Semua perkara itu disorokkan.
"Kerajaan Sabah atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perjanjian itu tidak mempedulikan hak atau kebajikan Orang Asli," ujar bekas senator dan aktivis Orang Asli, Adrian Banie Limbang.
NCA hanya didedahkan kepada umum pada 9 November 2021, kira-kira 10 hari selepas perjanjian itu dimeterai.
Portal al-Jazeera cuba mendapatkan komen Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor namun tiada sebarang maklum balas diterima. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram