Polis tidak jumpa petunjuk dakwaan lelaki bersenjata masuk Lahad Datu


  • 112
  • Jumaat, 04 Feb 2022

ORANG ramai dinasihatkan agar tidak bimbang mengenai tahap keselamatan di Sabah.—The Star

TIADA sebarang petunjuk ditemukan berhubung dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu, Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada 28 Januari 2022, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan berkaitan perkara itu.

"Namun begitu, polis bersama pasukan keselamatan lain sentiasa memberikan perhatian mengenai keselamatan di pantai timur Sabah dan Sabah amnya daripada sebarang ancaman luar," katanya dalam satu kenyataan di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat.

Dalam pada itu, Idris menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang mengenai tahap keselamatan di negeri ini.

Menurut laporan media tempatan, difahamkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lepas.

Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram