RATA-RATA warga Pontian, Johor kesal dengan kerja penurapan jalan di simpang tiga Parit Selangor ke arah Pekan Nanas kerana didakwa tidak dibuat dengan baik hingga menyebabkan beberapa pengguna jalan raya di situ berdepan masalah termasuk tayar pecah.
Kekecewaan itu antara lain dilahirkan seorang pengguna Facebook, Wan Emran Syahidan yang merasakan kerja-kerja penurapan jalan di situ tidak dibuat dengan rata dan elok seolah-olah 'melepaskan batuk di tangga'.
"Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian atas 'sumbangan' jalan yang berbucu-bucu. Tengok keadaan jalan, rakyat Pontian dah boleh buat penilaian kerja anda macam mana," katanya menerusi satu hantaran pada Khamis di laman Facebook Geng Pontian.
Hantaran status beserta gambar keadaan tayar kenderaan yang pecah dipercayai akibat terkena jalan itu kemudian mendapat reaksi warga Pontian yang lain.
Seorang pengguna Facebook, Atan Atom mendakwa, jalan raya di Pontian terutama menghala ke Pekan Nanas tidak banyak berubah sejak 51 tahun dahulu.
"Dari zaman aku mula kerja tahun 1971 sampai sekarang tidak banyak berubah. Hospital Pontian pula langsung tiada rupa hospital. Daerah lain semua dah dapat hospital baru," katanya.
Komennya kemudian dibalas pengguna Facebook lain, Azmasred Azmasred yang mendakwa dia turut menjadi mangsa keadaan jalan yang teruk itu hingga perlu membelanjakan banyak duit menukar tayar kereta.
"Kawan pun dah banyak kali kena dah. Tahun lepas sahaja dah dekat tujuh buah tayar kena tukar. Kadang-kadang bunga atas masih cantik tetapi kena di bahagian tepi tayar," katanya.
Sementara itu, Maznah Mahmood mendakwa, jalan itu sudah beberapa kali dibaiki namun tetap rosak mungkin disebabkan faktor tanah gambut di kawasan berkenaan.
"Mungkin ada satu cara...buat longkang batu di kiri kanan jalan. Rasanya jalan mungkin tidak rosak lagi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Majoriti berusaha mendapatkan JKR Pontian bagi mendapatkan maklum balas berhubung permasalahan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram