Terkilan kucing jalanan dianiaya di Cherating


  • Tular
  • Jumaat, 04 Feb 2022

TANGKAP layar video tular mengenai kucing dengan kaki dipercayai dipotong di Cherating, Pahang.

VIDEO seekor kucing tempang, dipercayai akibat kakinya dianiaya individu tidak bertanggungjawab meruntun jiwa warga maya sejak Khamis.

"Kami balik kampung terkejut tengok beberapa ekor kucing jalan terhencut-hencut.

"Kenapa manusia kejam pada haiwan?

"Ada tiga ekor kucing dipercayai dipotong kakinya oleh salah seorang jiran kami," dakwa Rozilah Abdullah kepada Majoriti.

Rozilah, 52, mendakwa, dia pulang ke kampung halamannya di Kampung Cherating, Pahang pada 29 Januari lalu untuk menziarahi keluarganya.

Katanya, mereka sekeluarga sedang membuat barbeku sebelum terjumpa beberapa ekor kucing dengan kaki terpotong.

"Masa tu ada banyak kucing liar yang datang tapi kami macam pelik sebab ada dua atau tiga ekor yang jalan terhencut-hencut, bila tengok kaki mereka macam kena potong sebab kecederaan dekat belah yang sama dan satu je kaki.

"Tapi luka dia macam dah sembuh, ada yg seekor tu mungkin macam ada kesan luka kering, tapi rasa kaki mereka dipotong masa dia masih kecil," katanya sambil menambah, dia tidak tahu bagaimana hendak melaporkan perkara terbabit kepada pihak yang berkuasa.

Menurut Rozilah, dia tidak tahu siapa yang melakukan penganiayaan tersebut, namun merayu agar perkara tersebut dihentikan segera.

"Kawasan ni banyak warga asing yang tinggal, tapi kami memang tidak tahu siapa yang buat.

"Anak kucing, mereka tak tahu apa, dia kadang masuk rumah orang, mungkin ada yang tak suka kucing, jadi mereka potong kaki kucing tu.

"Saya kongsi video sebab saya harap perbuatan ini dihentikan, saya risau memikirkan sebab dekat kawasan tu memang banyak kucing jalanan, saya tak nak ada kucing lain jadi mangsa," katanya.

Menetap di Taman Tas, Kuantan, Rozilah berkata, kucing-kucing terbabit kini menetap bersama keluarganya.

"Yang warna hitam oren tu adik ipar saya ambil bela, yang tu memang masa dia datang ke rumah waktu kecil kaki dia terpotong.

"Yang putih coklat tu ada dekat rumah ibu saya, nanti saya sendiri akan balik untuk ambil dan jaga," katanya.

Video yang dikongsikan Rozilah di laman TikToknya pada Khamis sudah mendapat lebih 50,000 tontonan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram