MURID sekolah daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, murid terbabit perlu menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah masing-masing.
Katanya, ketetapan itu dibuat sebagai usaha mengawal jangkitan Covid-19 yang lebih besar serta melindungi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kita ingin memastikan anak-anak kita yang bakal menduduki SPM pada Februari dan Mac ini berada dalam keadaan yang terlindung.
"Supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur," katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook pada Sabtu.
Pada masa sama, tambah Radzi, pihaknya akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat ditingkatkan, khususnya di asrama sekolah.
"Kita akan terus memastikan pematuhan SOP di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan.
"KPM juga telah meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM, bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes Covid-19 dalam sektor pendidikan, di mana sebanyak 118,238 jumlah kumulatif kes Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 1 Januari hingga 1 Februari tahun ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan lain-lain kluster.
"Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dari 1 Januari hingga 1 Februari.
"Daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus, melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.
"Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram