OPERASI menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh ke dalam lubang sedalam 32 meter di wilayah Chefchaoen, utara Maghribi dilaporkan sudah berada di peringkat akhir.
Menerusi laporan Arab News, proses penggerudian bagi mengeluarkan mangsa dikenali sebagai Rayan, masih berjalan dengan pasukan penyelamat menggunakan peralatan tangan seperti tukul untuk melakukan kerja-kerja menggali lubang.
Media melaporkan, operasi untuk menyelamatkan Rayan yang sudah lebih empat hari berada di dalam lubang itu, sebagai sangat kompleks, berisiko dan berbahaya.
Morocco bid to free boy from well reaches nerve-wracking final stages. #SaveRayan#قلوبنا_مع_ريان#أنقذوا_ريانhttps://t.co/GTij58fxBV pic.twitter.com/D1kd6bassA
— Arab News (@arabnews) February 5, 2022
"Lubang perigi itu terlalu sempit untuk mencapai Rayan manakala kerja-kerja melebarkannya dianggap terlalu berisiko.
Justeru pasukan penyelamat menggali cerun luas ke dalam bukit untuk menarik Rayan dari sebelah sisi," katanya pada Sabtu.
Operasi itu bertambah kompleks apabila terdapat campuran tanah berbatu dan berpasir selain berdepan risiko tanah runtuh.
Pada petang Jumaat, pasukan penyelamat bekerja di bawah lampu limpah pada peringkat terakhir operasi.
PASUKAN penyelamat menggali cerun dari sebelah sisi untuk mengeluarkan Rayan dari lubang perigi sedalam 32 meter. — Agensi
Mereka menggali terowong sepanjang tiga meter untuk mengeluarkan budak lelaki itu dengan selamat.
Pihak berkuasa mengumumkan Rayan masih hidup dan ibunya dibenarkan melihat anaknya melalui kamera.
Ibu kanak-kanak itu memberitahu media Maghribi bahawa Rayan sebelum itu bermain berhampiran kawasan tersebut. Dia kemudiannya dilaporkan hilang pada petang Selasa.
"Seluruh keluarga keluar untuk mencarinya kemudian kami menyedari bahawa dia telah jatuh ke dalam perigi.
"Saya masih menyimpan harapan bahawa kita akan mengeluarkan dia hidup-hidup," katanya dengan linangan air mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram