SATU kejadian pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, George Town, Pulau Punag menjadi tular selepas video insiden itu tersebar di media sosial sejak Rabu.
Dalam video berdurasi lebih seminit itu, dipaparkan kekecohan yang berlaku yang mana sekumpulan lelaki dipercayai berbangsa India bergaduh di lokasi berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, kejadian yang berlaku pada Selasa itu membabitkan perselisihan faham antara peniaga kompleks makanan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi, Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Asmadi Mohd Razali.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam ketika peniaga sedang mula berkemas untuk menutup kedai masing-masing.
“Pergaduhan berpunca daripada salah faham dan masalah peribadi antara dua peniaga di situ sejak sekian lama dan ia sudah diselesaikan dengan baik.
“Dalam perniagaan, di mana-mana pun boleh berlaku salah faham dan peniaga lain atau pelanggan tidak perlu bimbang kerana ia sudah diselesaikan dengan baik," katanya.
Jelasnya lagi, insiden itu tidak membabitkan kerosakan harta benda, kecederaan antara peniaga atau pelanggan dan perbalahan itu hanya berlaku sebentar sahaja.
'Ada pelanggan yang masih menikmati makanan pada ketika itu namun tidak ramai.
"Saya harap orang ramai tidak melakukan sebarang spekulasi sehingga mencemarkan imej kompleks makanan kami yang menjadi tumpuan pengunjung ke Pulau Pinang," ujarnya.
Tambahnya, dia memberi jaminan bahawa kompleks makanan itu selamat dikunjungi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram