SYARIKAT ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan memastikan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawahnya bersedia sepenuhnya bagi menampung kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun mendapatkan vaksin melalui pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), bermula Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anas Alam Faizli dalam kenyataan pada Isnin berkata, PPV di bawah syarikat itu termasuk PPV Integrasi, PPV Offsite dan PPV hospital swasta terpilih.
Beliau berkata, sebagai permulaan, PICKids akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi, manakala bagi kanak-kanak tanpa sebarang masalah kesihatan vaksinasi akan diberikan di PPV Integrasi.
"ProtectHealth mengalu-alukan pelaksanaan program ini dan menggalakkan penyertaan pakar pediatrik swasta dan klinik pakar. Melalui Pengamal Perubatan Swasta (PPS), kami akan terus membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pelaksanaan PICKids,” katanya.
PPV untuk PICKids di bawah ProtectHealth akan memulakan operasinya pada 3 Februari bagi PPV Integrasi di Kuala Lumpur dan Selangor; PPV Offsite terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor (5 Februari); dan PPV Hospital Swasta (7 Februari). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram