Nenek hilang ketika cari lembu di Rantau ditemukan


  • 112
  • Khamis, 03 Feb 2022

MANGSA sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas menguruskan lembu ternakannya. — Facebook

SEORANG warga emas yang hilang selepas mencari lembu ternakannya sejak empat hari lepas ditemukan dalam keadaan lemah di kawasan curam dan berpaya berhampiran kawasan Ecopark Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa A. Sivapaki, 74, ditemukan dalam keadaan selamat oleh sepasukan polis dan penduduk kampung setelah dua ekor anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengesan mangsa di sekitar kawasan berkenaan pada 11.30 pagi.

"Pencarian telah dimulakan pada pukul 9 pagi dan tujuh kumpulan dipecahkan dalam radius pencarian tujuh kilometer di kawasan Kampung Sega Tengah, Kampung Sega Hilir dan Ecopark Kuala Sawah.

"Semasa pencarian di kawasan berpaya dan curam berdekatan kawasan Ecopark Kuala Sawah, dua ekor anjing unit pengesan K9 PDRM itu telah mengesan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, polis bersama penduduk kampung kemudian telah turun ke lokasi berkenaan dan menjumpai mangsa yang berada dalam keadaan lemah.

Nanda berkata, usaha mengeluarkan mangsa dilakukan oleh anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan meredah kawasan berpaya itu sebelum mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk rawatan lanjut.

Beliau juga berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dibantu oleh 81 anggota dan pegawai termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, APM serta penduduk kampung.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi pada 31 Januari lepas, Sivapaki dilaporkan tidak pulang selepas menguruskan lembu ternakannya di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram