SELEPAS banjir teruk melanda beberapa negeri dalam negara hujung tahung lalu, isu pembalakan serta penggondolan hutan mula menjadi hangat dalam kalangan netizen di sosial media.
Pada Selasa, pengguna Facebook, Taiping Zone memuatnaik beberapa gambar yang menunjukkan beberapa kawasan di sekitar Bukit Larut 'botak' akibat digondol oleh pihak tertentu.
Menurutnya, aktiviti menebang pokok aktif dijalankan di lereng bukit di kawasan Sentosa Villa, Bukit Jana dan juga Padang Tembak.
"Ada juga bukti-bukti aktiviti 'pertanian' di kaki bukit sekitar Taiping ni. Memang bolehkah?
"Mereka kalau 'bercucuk tanam' biasanya akan berjangkit sampai atas bukit macam dalam gambar ni," katanya sambil menambah bahawa pagar turut dipasang di sekitar kawasan-kawasan tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Muhamad Imran turut berkongsi perkara yang sama dan mendakwa keadaan bukit tersebut adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan.
"Di lereng bukit kawasan perumahan dan Kem Askar Kamunting-Taiping pun sudah habis ditarah akibat aktiviti pembalakan.
"Persoalannya, (kawasan itu) rizab hutan simpan tapi boleh buat aktiviti balak," katanya.
Dia turut mendakwa aktiviti pembalakan itu dilakukan oleh orang kenamaan sehingga pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) enggan masuk campur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram