HUTAN Simpan Kledang ialah hutan simpan kekal yang diurus berasaskan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dengan diklasifikasikan kepada hutan pengeluaran iaitu meliputi 51 peratus dan hutan perlindungan (49 peratus).
Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, hutan pengeluaran adalah bagi tujuan pengeluaran hasil-hasil hutan termasuk pengeluaran kayu secara berkekalan melalui aktiviti pembalakan.
Justeru beliau berkata, individu yang memuat naik dakwaan terdapat aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang di media sosial berkemungkinan telah keliru dengan istilah 'hutan simpan kekal' yang pada anggapannya tidak boleh dijalankan aktiviti pembalakan.
"Anggapan individu itu adalah tidak tepat kerana hutan simpan kekal klasifikasi pengeluaran boleh dijalankan pembalakan mengikut prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamed Zin berkata, berdasarkan rekod jabatan, kawasan tersebut diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran dan satu kelulusan membalak seluas 80 hektar telah diberi oleh pihak berkuasa negeri pada tahun 2018.
"Aktiviti pembalakan telah dijalankan melalui pengeluaran satu lesen pada tahun 2019 dan tamat pada 2020.
"Kerja-kerja pembalakan ini dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan," jelasnya.
Katanya lagi, perkongsian gambar di media sosial yang mendakwa berlakunya aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kledang Saiong dekat Kuala Kangsar itu juga merupakan gambar lama yang ditularkan semula.
"Gambar dan kenyataan sama yang menyebut 'Hutan Simpan Pun Boleh Dapat Lesen Untuk Ditarah' itu pernah dimuat naik pada 2019," ujarnya.
Katanya, di Perak terdapat seluas hampir 987,000 hektar kawasan telah diwartakan sebagai hutan simpanan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram