Medac sedia jalin kerjasama lahir usahawan tempatan


  • Primer
  • Khamis, 03 Feb 2022

NOH Omar (tiga dari kiri) melihat produk yang akan dijual sepanjang HUN 2022.

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana persatuan di negara ini bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

Menterinya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya sedia untuk mengadakan kerjasama itu demi menjayakan harapan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Kementerian hanya membuat dasar, tetapi dasar-dasar ini hanya akan dilaksanakan oleh usahawan-usahawan.

"Jadi, kerana itulah kita hendak bekerjsama dengan semua persatuan termasuk Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM).

"Kita mahukan kerjasama ini bukan sahaja dari aspek untuk mempromosikan produk usahawan, tetapi juga dalam usaha untuk memberikan bantuan (kepada peniaga)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Aplikasi dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Tambahnya, kerjasama itu juga diharap dapat membantu kerajaan bagi membantu golongan usahawan yang terjejas akibat bencana banjir tahun lalu.

Menurut beliau, usaha tersebut antara contoh kerjasama Medac dan persatuan supaya sebarang peruntukan yang disediakan kerajaan dapat disampaikan kepada sasarannya.

"Kalau kita tidak bekerjasama dengan persatuan-persatuan, amat sukar untuk kita dapatkan maklumat sebegini.

"Begitu juga jika terdapat sebarang bantuan yang perlu disampaikan kepada rakyat, usahawan, kita juga akan bekerjasama dengan persatuan supaya apa yang disediakan kerajaan, akan sampai kepada usahawan," jelasnya.

Tambahnya, kerjasama tersebut juga amat penting bagi memerangi masalah orang tengah.

“Seperti kita semua sedia maklum, kenaikan harga barang yang terjadi kini kebanyakannya berpunca daripada orang tengah.

“Justeru itu, kerjasama semua pihak amat penting bagi memerangi masalah orang tengah ini,” katanya.

Sementara itu, jalinan kerjasama Medac dan Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) adalah dalam menganjurkan Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 yang bakal berlangsung selama lima hari bermula 24 Mac sehingga 28 Mac depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebanyak 2,000 lot pameran disediakan sepanjang HUN 2022 dengan kira-kira 300 lot pameran diperuntukkan buat usahawan luar negara.

Sementara,terdapat 100 pameran khas disediakan untuk selebriti tempatan. Orang ramai boleh layari layari www.hariusahawannegara.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai HUN 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram