Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran kedai perabot di Kampung Cheras Baru


  • 112
  • Jumaat, 21 Jan 2022

MAYAT mangsa ditemukan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba. — JBPM KL

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menemukan satu mayat lelaki rentung dalam kebakaran di sebuah kedai perabot di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur awal pagi Jumaat.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, dua lagi lelaki yang merupakan rakan sekerja mangsa selamat dalam kejadian itu.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.42 pagi, dan pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati premis berkenaan sedang terbakar.

"Terdapat tiga mangsa berusia lingkungan 50-an dan 60-an, dua mangsa dikeluarkan dengan selamat, manakala seorang pekerja ditemui Unit Anjing Pengesan (K9) dan disahkan rentung oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pihak Bomba turut menghadapi kesukaran ketika memadam api kerana risiko arus elektrik, namun kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan sebelah pada 3.30 pagi.

Tambahnya, punca kebakaran di kedai perabot berkenaan masih disiasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jbpm, cheras, kebakaran, rentung, mangsa, K9, bomba