KAWASAN kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal, Pulau Pinang mencatatkan kualiti udara semakin buruk dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang meningkat pada Sabtu.
Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kualiti udara di tapak pelupusan sampah itu menunjukkan IPU 128 pada pukul 3 petang Sabtu, meningkat berbanding 103 pada pukul 7 pagi.
Stesen IPU di kawasan tapak pelupusan sampah itu dibuka khusus untuk mencerap kualiti udara ekoran kejadian kebakaran tersebut, ia juga merupakan satu-satunya stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara.
Berdasarkan APIMS juga, sebanyak empat lagi stesen IPU di Pulau Pinang merekodkan bacaan pada tahap sederhana, setakat pukul 3 petang Sabtu.
Kawasan itu ialah Seberang Jaya (88) dan Seberang Perai (75) di bahagian tanah besar manakala Minden (74) dan Balik Pulau (72) di kawasan pulau.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, peratusan kebakaran ketika ini ialah sebanyak 31 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran melibatkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
Katanya, usaha memadam kebakaran giat dijalankan dengan kerja-kerja pemadaman melibatkan pancutan air dan tambakan tanah membabitkan kerjasama pelbagai agensi antaranya pihak bomba, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela dan syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah itu iaitu Syarikat PLB Terang.
"Berdasarkan pemantauan, kebakaran masih berlaku di lapisan bawah namun ia (kebakaran) dapat dikawal dan pemantauan masih dilakukan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) memaklumkan ketika ini sektor 1, 2 dan 4 telah berjaya dipadamkan sepenuhnya manakala kerja pemadaman dan pengawalan masih dilakukan di sektor 3 dan 5 dengan menggunakan pelbagai kaedah dan alat pemadaman, namun secara keseluruhan kebakaran adalah terkawal.
Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilapor berlaku pada 12 Januari lepas kira-kira 5 petang dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram