PBA Holdings Bhd menjangka ratusan juta ringgit perlu dilaburkan bagi memastikan penyediaan perkhidmatan bekalan air yang stabil dan mencukupi untuk semua pengguna di Seberang Perai, Pulau Pinang pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pelaburan itu sangat penting bagi pelaksanaan lima projek yang dicadangkan untuk kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ia merangkumi projek penambahbaikan tangki sedimentasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua fasa dua; pakej 12A LRA Sungai Dua; projek LRA Empangan Mengkuang fasa satu; projek LRA Sungai Muda fasa satu dan projek proses prarawatan Skim Bekalan Air Sungai Perai.
"Jika projek-projek yang tertakluk pada kelulusan kerajaan negeri ini dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, ia akan menyumbang kepada penyediaan tambahan 569 juta liter air sehari,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menangani isu tekanan air rendah di Seberang Perai Selatan (SPS) dengan mengerahkan sumber yang ada dan melaksanakan langkah-langkah kejuruteraan bagi mengatasi situasi itu untuk jangka masa pendek.
"Ini termasuk menambah baik dan menjalankan konfigurasi semula jaringan paip bekalan air sedia air bagi memastikan tekanan air yang baik dan konsisten," katanya.
Menurut Jaseni lagi, tekanan rendah di beberapa kawasan tinggi dan hujung sistem perpaipan di beberapa kawasan penempatan di SPS adalah disebabkan oleh aktiviti pemadaman kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
"Selain itu, ia berpunca daripada cuaca panas dan permintaan air yang tinggi susulan persiapan menyambut Tahun Baharu Cina," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
