SELEPAS mengalami kebakaran selama 20 hari, api tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di Nibong Tebal, Pulau Pinang akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Prai Selatan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menamatkan operasi pemadaman api di 11 hektar keluasan kawasan terbabit.
Berdasarkan situasi terkini, aliran kerja pengurusan bencana akan diteruskan dan diseragamkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), bagi memastikan sumber sedia ada dioptimumkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jawatankuasa itu berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri.
Katanya, aliran kerja agensi lain di lapangan akan diteruskan sehingga pengurusan bencana selesai.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar negeri akan terus memantau kualiti udara di kawasan berkenaan, sehingga mereka berpuas hati dengan bacaan kualiti udara yang stabil.
Indeks Pencemaran Udara di Seberang Prai Selatan pada pagi Rabu turun kepada 50 peratus, menjadikannya 73 berbanding 145 pada 29 Januari.
Penduduk yang tinggal di daerah Seberang Prai Selatan dinasihatkan terus berwaspada dengan kesihatan mereka.
“Sekiranya simptom seperti sesak nafas dan kurang sihat, mereka dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan,” tambah kenyataan itu.
Pada masa sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri serta agensi lain yang bertungkus lumus dalam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
“Terima kasih kepada #WiraMerah Pulau Pinang dan pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam operasi tersebut.
“Kerjasama bersepadu telah menghasilkan kejayaan misi,” katanya dalam catatan Facebooknya pada Selasa.
Sebelum ini, seluas 11 hektar tapak pelupusan sampah itu terbakar dalam kebakaran yang berlaku pada 12 Januari.
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu, selepas kebakaran di kawasan itu mencemarkan kawasan sekitar dan mendatangkan risiko kepada kesihatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
