PENJAGA gol baharu Melaka United, Bryan See bertekad mahu bersaing bagi posisi penjaga gol utama pasukan walaupun terpaksa berdepan saingan sengit dua lagi penjaga gol berbakat.
Menurutnya, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk berada di depan penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali selain bekas rakan sepasukannya, Ahmad Asyraaf Omar bagi posisi nombor satu itu.
Dalam masa sama, penjaga gol berusia 29 tahun itu teruja kerana berpeluang belajar dengan Norazlan yang dianggap sebagai seorang nama besar dalam arena bola sepak tempatan.
“Saya mahu cari cabaran baharu apabila ambil keputusan bersama Melaka dan harap boleh mendapatkan tempat selaku penjaga gol utama di sini.
“Apa yang penting saya kena cepat sesuaikan diri selain beri tumpuan kepada prestasi sendiri kerana bukan mudah untuk bersaing dengan dua lagi penjaga gol yang tidak kurang hebatnya.
“Norazlan merupakan penjaga gol yang sangat berpengalaman manakala Asyraaf, saya sudah cukup mengenalinya sejak di PKNP, dia memang seorang yang berbakat.
“Cuma saya tidak nafikan gembira berpeluang berada dengan seorang penjaga gol seperti Norazlan yang telah melakar banyak kejayaan sepanjang kariernya, harap saya boleh pelajari sesuatu dengan dia,” katanya.
Ketika di Penang FC, Bryan sering menjadi pilihan kedua di belakang Samuel Somerville tetapi beliau acap kali menampilkan prestasi cemerlang tiap kali diturunkan oleh jurulatih.
Sebelum ini, Bryan pernah menjadi penjaga gol utama di PDRM FC selama dua musim dan pernah menimba pengalaman bermain di Thai League 3 bersama Bangkok FC.
Dalam pada itu, Bryan teruja melihat kualiti sebahagian besar pemain Melaka United yang dirasakan mampu berikan cabaran sengit kepada pasukan lain.
Kejayaan mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2021 dijangka mampu menjadi pembakar semangat serta motivasi kepada pemain-pemain Melaka United untuk mencabar kejuaraan.
“Melihatkan pengalaman yang dilalui oleh pemain tahun lalu apabila berjaya mara ke separuh akhir iaitu selangkah sahaja dari pentas akhir, mereka seperti semakin dahagakan kejayaan.
“Harap memori musim lalu akan memberikan keyakinan kepada pemain untuk mendapatkan satu trofi sama ada Piala FA atau Piala Malaysia.
“Malah pemain import Melaka pada musim ini saya nampak cukup berkualiti dari tahun lalu dan harap segalanya akan berjalan baik di Melaka,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram