Gas ammonia kilang ayam di Tanjung Karang bocor


  • 112
  • Rabu, 02 Feb 2022

ANGGOTA bomba menjalankan kerja-kerja menutup semua injap saluran gas ammonia dalam insiden kebocoran gas di Tanjong Karang pada Rabu. — Ihsan Bomba

SERAMAI 463 pekerja sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor terselamat selepas berlaku kebocoran gas ammonia di kilang terbabit pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu disedari pekerja kilang yang melihat kebocoran pada salah satu saluran paip di kilang terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang.

WhatsApp Image 2022-02-02 at 17.00.51

PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya membuat pemeriksaan selepas berlaku kebocoran gas ammonia di kilang terbabit. — Ihsan bomba

"Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran pada saluran paip gas ammonia yang menghasilkan bau amat kuat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norazam berkata, bomba dengan pihak pengurusan kilang kemudian melakukan pemantauan menyeluruh dan menutup semua injap saluran gas tersebut.

Tambahnya, semasa kejadian seramai 463 pekerja berada di kilang itu masing-masing terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita.

"Tindakan pengosongan segera dilakukan dan kesemua pekerja itu diarah keluar ke kawasan selamat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram