Polis Sarawak perjelas punca kematian suspek kes tembak di Kuching


  • 112
  • Jumaat, 17 Dis 2021

SUSPEK lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian. — Facebook

LAPORAN bedah siasat ke atas kematian suspek kes tembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, di Kuching pada Rabu lepas adalah disebabkan kecederaan akibat dua das tembakan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan akibat tembakan di paha dan perut suspek.

"Hasil bedah siasat dan laporan forensik mendapati sebab kematian adalah luka terkena tembakan iaitu satu di paha dan satu di perut," katanya dalam satu sidang media di Pusat Media IPK Sarawak pada Jumaat.

Tambahnya, jenazah suspek telah diserahkan kepada keluarganya untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan suspek bukan orang yang dikehendaki polis meskipun dia memiliki 14 rekod jenayah lampau.

"Dia bukan orang dikhendaki, cuma dia mempunyai rekod jenayah sahaja dan ada kes-kesnya yang telah selesai dan ada yang masih berjalan," katanya.

Sementara itu, jelas Aidi pihaknya masih belum mendapat laporan penuh bedah siasat yang dijalankan ke atas suspek setakat ini.

"Laporan penuh bedah siasat belum diperoleh, cuma kita dapat mengenai pengesahan punca kematian suspek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada suspek berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah semasa kejadian berlaku.

Sementara itu, lima anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (BSPT) IPD Kuching yang terlibat kes tersebut, ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran serta merta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram