Lagak datuk bandar tembak 'pistol wang' cetus kemarahan


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jan 2022

SINGSON menembak wang kepada pengundinya dengan 'senjata wang emas' nya. — Agensi

SEORANG Datuk Bandar memainkan watak Santa untuk menghiburkan pengundinya sambil menggunakan "pistol wang emas' yang dibuat khas.

Dengan tidak bertopeng muka, Datuk Bandar Narvacan, Luis “Chavit” Singson ditunjukkan dalam video menembak 100 peso (RM8) dan 500 peso (RM40) bil daripada pistol manakala pengundinya berebut-rebut untuk merebut wang itu.

Video berdurasi 43 saat yang disiarkan di laman Facebook rasminya menjadi tular, mendapat sekurang-kurangnya 2.9 juta tontonan dan 72,000 reaksi.

'Raja politik' wilayah Ilocos Sur yang berusia 80 tahun itu berkata, tindakannya bukan gimik kempen kerana dia tidak mahu jawatan tempatan atau nasional pada pilihan raya Mei 2022.

Beliau berkata, pemberian wang tunai dengan cara itu bukanlah sesuatu yang baharu tapi pernah dilakukan pada masa lalu dan bukan sahaja semasa cuti perayaan.

“Tindakan itu hanya bertujuan untuk menggembirakan orang ramai, terutamanya kerana ia adalah Krismas. Jika orang gembira, saya juga gembira,” kata Singson.

Penduduk Ilocos Sur berkata, Singson sentiasa "pemurah" sejak dia terlibat dalam politik pada 1972.

Jenny Macatiag, yang mengendalikan media dan perhubungan awam Singson sejak 2003, berkata dalam satu temu bual pada hari Khamis, bekas gabenor Ilocos Sur itu selalu melakukan perkara sedemikian yang mana memberikan sejumlah wang tunai kepada penyokong untuk tujuan keseronokan.

Tetapi sebilangan warganet berkata cara Singson menderma wang tunai adalah "menghina" dan "mengeksploitasi."

“Kita hilang maruah sebagai rakyat!! Gambar yang sangat, sangat menyedihkan!” komen seorang warganet.

Komen lain berkata, Singson kelihatan tidak mengambil berat tentang kesejahteraan pengundinya di tengah-tengah pandemik Covid-19.

“Tiada sedikit pun penjagaan! Dan tiada siapa yang melakukan apa-apa mengenainya! Jadi tidak bertanggungjawab atau hanya cuai dan tidak berotak!” kata warganet lain.

Susulan dari komen warganet, Macatiag berkata, Singson tidak berniat untuk menjatuhkan maruah orang ramai.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram