Dua tekong darat ditahan di Pasir Mas


  • 112
  • Selasa, 01 Feb 2022

KESEMUA suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Polis Pasir Mas, Kelantan untuk siasatan lanjut. — Gambar hiasan/Facebook

DUA tekong darat warga tempatan ditahan bersama 16 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang disembunyikan dalam sebuah lori di Kampung Batu Karang di Pasir Mas, Kelantan pada Ahad lalu.

Tangkapan itu dilakukan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8).

Pegawai Pemerintah PGA8, Supritendan Mat Shukor Yusof berkata, kesemua pendatang tanpa izin iaitu dua perempuan dan 14 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an ditahan dalam kejadian pukul 6 petang itu.

"Kes mula dikesan selepas sepasukan anggota PGA8 melakukan pemerhatian ke atas sebuah lori yang mencurigakan di Kampung Batu Karang, Pasir Mas, Kelantan yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama kelindanya.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori bertutup itu mendapati ada 16 pendatang warga Myanmar terbabit," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mat Shukor, kedua-dua lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan dipercayai bertindak sebagai tekong darat dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan haram dan disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Jelasnya, kedua-dua suspek dipercayai menerima upah dengan bayaran tertentu dan bertindak sebagai 'penghantar' dengan menggunakan lori bertutup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kumpulan warga asing ini berkemungkinan memasuki negara ini melalui pangkalan haram dan bersembunyi di mana-mana kawasan terlebih dahulu sebelum dibawa menaiki lori tersebut.

"Kesemua yang ditahan termasuk sebuah lori diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram