Pati cuba seludup masuk Tanjung Sedili, Johor kena cekup


  • 112
  • Ahad, 23 Jan 2022

ATM menahan empat pendatang tanpa izin susulan maklumat penduduk kampung. — Gambar Hiasan/The Star

EMPAT pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana cuba menyusup masuk ke negara ini melalui laluan 'tikus' berhampiran Tanjung Sedili, Johor.

Markas Divisyen Infantri Ketiga Malaysia berkata, kumpulan itu ditahan oleh Briged Ketujuh Infantri Malaysia yang bertanggungjawab menyelia kawasan di bawah Op Benteng.

"Susulan maklumat daripada penduduk kampung, pasukan peronda mengesan pergerakan orang mencurigakan berhampiran hutan di Tanjung Sedili pada 3.30 pagi Ahad. Pasukan Reaksi Pantas kemudian dikerahkan ke kawasan itu dan berjaya menahan empat lelaki pada 5.15 pagi.

"Empat lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 47 tahun itu diserahkan kepada Markas Taktikal Tanjung Sepang di Bandar Penawar untuk proses siasatan dan dokumentasi.

"Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Sedili dan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di Klinik Kesihatan Sungai Rengit mendapati kesemua suspek negatif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Anggota tentera turut merampas wang tunai dan telefon bimbit suspek.

Kesemua suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

ATM turut mengerahkan Pasukan Tindak Balas Pantas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan dron untuk terus memantau kawasan itu daripada sebarang pencerobohan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram