Pasangan dua, janda gagal seludup mercun, barangan makanan


  • 112
  • Ahad, 05 Dis 2021

PEMERIKSAAN PGA8 menemukan 70 guni dan 23 kotak mengandungi pelbagai mercun, 3,240 kotak mi segera dan 40 kotak serbuk teh buatan Thailand di dalam lori dinaiki suspek. — Gambar hiasan

SEPASANG kekasih berstatus duda dan janda ditahan oleh Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), susulan cubaan menyeludup masuk mercun dan barangan makanan dari Thailand, di Kampung Lubok Chekok, Banggol Chicha, dekat Pasir Mas, Kelantan, pada malam Sabtu.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA8 DSP K.Ramesh berkata, kedua-duanya yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sepasukan anggota PGA yang menjalankan Op Benteng Covid dalam serbuan pada 10 malam.

"Terdahulu, anggota PGA8 telah terserempak dengan sebuah lori di dalam semak dan apabila dihampiri didapati terdapat seorang lelaki sedang menyusun kotak di bahagian belakang lori manakala seorang wanita di kerusi penumpang hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan kemudian menemukan 70 guni dan 23 kotak mengandungi pelbagai mercun, 3,240 kotak mi segera dan 40 kotak serbuk teh buatan negara jiran tersebut.

Ramesh berkata, pasangan itu bersama keseluruhan barangan rampasan dianggar bernilai RM329,860 termasuk lori dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PGA8, kekasih, Banggol Chica, pasangan, mercun