POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes samun dan melarikan kenderaan milik pemandu e-hailing di Jalan Sentul Pasar di ibu negara, dalam kejadian pada Isnin.
VIDEO kejadian yang tular di laman sosial
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 23 tahun itu yang menyamar sebagai penumpang dan memesan perkhidmatan e-hailing itu ditahan pada 12 tengah hari di tempat awam di Kota Damansara.
Beliau berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada mangsa berumur 47 tahun pada 2.08 petang Isnin dengan mendakwa telah disamun, ditikam di leher dan kereta Proton Saga miliknya dilarikan suspek.
"Siasatan mendapati mangsa mengambil suspek di Putrajaya menggunakan aplikasi In Driver dan setelah sampai di destinasi di Sentul Pasar, mangsa memberitahu suspek jumlah tambang yang perlu dibayar.
"Namun suspek meminta akaun bank mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara dalam talian. Semasa mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, secara tiba-tiba suspek menikam mangsa di bahagian leher menggunakan objek tajam.
"Suspek juga bertindak menarik mangsa keluar dari kereta dan melarikan kereta jenis Proton Saga warna kelabu itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Eng Lai berkata, mangsa dibantu orang awam yang kebetulan melalui jalan terbabit dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans untuk rawatan.
Katanya, susulan itu, siasatan dilakukan dan pihaknya berjaya mengesan suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Polis turut merampas kereta yang dilarikan suspek dan juga beberapa barangan termasuk sebilah pisau dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa, sebuah beg silang milik mangsa, kunci kereta, lesen memandu, pasport serta kad pelantikan anggota Rela milik mangsa dan beberapa keping kad bank.
"Polis juga menemui nombor pendaftaran kereta mangsa dibuang di dalam tong sampah," katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram