Permit import ayam bulat dibuka kepada pemegang AP


  • Primer
  • Isnin, 31 Jan 2022

TINDAKAN proaktif kerajaan ini antara lain bagi memastikan bekalan ayam kekal stabil. — Gambar hiasan

MESYUARAT Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) memutuskan bahawa permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

"Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (hypermarket)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Ismail Sabri mempengerusikan Naccol mengenai Industri Pengeluaran Makanan untuk membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Mesyuarat khas itu turut dihadiri Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Ismail Sabri juga berkata, pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan.

"Mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram