Harga ayam standard kini ditetapkan RM8.90


  • Primer
  • Isnin, 31 Jan 2022

PENETAPAN harga siling baharu antara lain bagi memastikan harga ayam kekal berpatutan. — Gambar hiasan

MESYUARAT Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) memutuskan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen, menjadi RM8.90 bermula 5 Februari hingga 5 Jun 2022.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

"Harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 sekarang kepada RM8.90.

"Harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa. Pelaksanaan kedua-dua harga ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri juga berkata, mesyuarat mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM dan perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara.

"Pasukan ini akan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram