SYARIKAT pakar penyelesaian Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), SMTrack Bhd menafikan pembabitannya dalam projek tersebut di plaza tol dan mengecam tuduhan tidak berasas yang didakwa sesetengah pihak di media sosial sebelum ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan pada Ahad, syarikat itu kebiasaannya tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap berita sensasi dari Internet, namun tuduhan tersebut memberikan reputasi yang buruk terhadap integriti SMTrack serta menjejaskan keyakinan pelabur.
Jelas Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack, Azmi Osman, sehingga kini, syarikat berkenaan tidak terbabit dalam projek RFID di plaza tol.
Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack, Azmi Osman berkata, sehingga kini, syarikat itu tidak terbabit dalam projek RFID di plaza tol.
"Sudah tentu sebagai syarikat yang memiliki kepakaran dalam RFID, kami percaya pada nilai tambah yang akan dibawa oleh teknologi itu kepada komuniti.
"Kami juga yakin bahawa pengenalan RFID di plaza tol akan meningkatkan kecekapan dan trafik memandangkan ujian yang betul dijalankan dan ia sudah digunakan selama lebih dua tahun.
"Perjalanan akan menjadi lancar dan ini adalah sesuatu yang kami percaya syarikat boleh membantu menyumbang kepada projek itu, dengan matlamat utama untuk menyumbang kepada kemudahan orang ramai. Bagaimanapun, pada ketika ini, kami tidak terbabit dalam projek itu," tegasnya.
Sementara itu, Azmi juga menyangkal dakwaan bahawa pelantikan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat adalah berkaitan dengan hubungan politiknya.
"Pelantikan Saiful Nizam sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tiada kaitan dengan hubungan politiknya dan ia dilakukan berdasarkan merit dan pengalaman beliau semata-mata.
"Kumpulan tidak akan mendiskriminasi mana-mana individu berdasarkan latar belakang mereka dan akan mengambil langkah tambahan untuk mendedahkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan jika ada.
"Sebagai Pengarah Bebas, Saiful Nizam tidak terbabit dalam keputusan dan operasi perniagaan seharian," katanya.
Dalam pada itu, Azmi turut menegaskan kumpulan itu juga tidak membabitkan Tan Sri Lee Kim Yew dalam sebarang urusan lobi untuk mana-mana projek bagi syarikat walaupun beliau muncul sebagai pemegang saham yang besar.
"SMTrack ialah entiti senaraian awam dan mana-mana pelabur yang mempunyai keyakinan dengan syarikat boleh melabur dalam syarikat melalui pasaran terbuka.
"Kami berbangga bahawa Kim Yew melihat potensi dalam kumpulan dan mengambil keputusan berdasarkan kapasiti pelaburannya sendiri.
"Bagaimanapun, kami ingin mengulangi bahawa beliau bukan sebahagian daripada pasukan strategik dan operasi kumpulan dan tidak terbabit dalam sebarang lobi projek untuk kumpulan," kata Azmi.
Tambah Azmi, propaganda politik yang disebarkan terhadap syarikat itu adalah tidak bertanggungjawab.
"Tuduhan dan pembohongan tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengelirukan orang ramai, memusnahkan reputasi entiti tersenarai dan integriti pasaran modal Malaysia dan mengelirukan orang ramai tentang faedah teknologi RFID.
"Tuduhan tidak berasas itu akan memberi kesan negatif terhadap integriti syarikat serta pasaran modal Malaysia, yang penting untuk memacu pertumbuhan dalam negara.
"Oleh itu, kami merayu kepada kerajaan dan penguatkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap pembohongan berkenaan.
"Kumpulan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan tidak berasas ini untuk melindungi integriti syarikat kami.
"Jika tuduhan tidak berasas ini membawa kepada pengunduran pelabur terkemuka dan pemimpin berwibawa seperti Kim Yew dan Saiful Nizam, ia akan memberi kesan buruk kepada reputasi kumpulan, prestasi kewangan dan juga harga saham kami. Oleh itu, saya merayu agar Kim Yew dan Saiful Nizam kekal bersama kumpulan," kata Azmi.
Pada Sabtu, Majoriti melaporkan ada warganet yang mendakwa bahawa pelaksanaan RFID ada kaitan dengan kepentingan politik tertentu.
Dakwa warganet berkenaan, wujud beberapa keraguan melibatkan pembabitan Saiful Nizam dan Kim Yew berhubung pelaksanaan pembayaran RFID. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram