Premis diserbu guna minyak masak paket buat minyak sembahyang di Bukit Pelandok


  • 112
  • Khamis, 27 Jan 2022

PARA pegawai KPDNHEP Negeri Sembilan menunjukkan minyak masak paket yang dirampas di sebuah premis di Bukit Pelandok, Seremban pada Rabu. — Facebook

SEBUAH premis di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas disyaki melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Operasi dilakukan pasukan penguatkuasa KPDNHEP Seremban dan Port Dickson serta polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan pada Rabu jam 12.05 tengah hari.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, ketika pemeriksaan, pihaknya menemui 159 kotak mengandungi minyak masak paket satu kilogram dengan jumlah keseluruhan berat 2,703 kilogram.

"Minyak masak paket tersebut dipercayai dijadikan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain.

"Suspek dipercayai menggunakan minyak masak bersubsidi sebagai bahan asas untuk menghasilkan minyak masak sembahyang kerana harganya lebih murah berbanding dengan harga minyak masak industri demi untuk mengaut keuntungan.

"Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 6,757.50 disita.

"Barangan tersebut ialah barang kawalan yang merupakan barang berjadual dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," jelasnya menerusi kenyataan dikeluarkan pada Khamis.

Tambahnya, ketika diserbu seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis berkenaan turut ditahan untuk diambil keterangan.

Ujar beliau lagi, siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek menjalankan kegiatan itu di premis tersebut sejak setahun lalu.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat pihak-pihak yang terlibat di dalam rantaian yang membekalkan minyak masak paket satu kilogram kepada kegiatan terbabit.

Ain Arjuna berkata, KPDNHEP Negeri Sembilan memandang serius terhadap penyelewengan minyak masak paket satu kilogram kerana ia seharusnya dijual dan dipasarkan untuk kegunaan isi rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram