Guna jadual TTA sempena Tahun Baharu Cina - PLUS


  • Primer
  • Rabu, 26 Jan 2022

JUMLAH trafik harian dijangka meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bagi tempoh 28 Januari hingga 6 Februari. — FAIHAN GHANI/The Star

PENGGUNA lebuh raya disaran supaya mengikuti Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan Plus Malaysia Berhad (Plus) sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan datang kerana jumlah trafik harian dijangka meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bagi tempoh 28 Januari hingga 6 Februari.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pengguna dari Lembah Klang yang ingin melakukan perjalanan ke utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak dinasihati supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

"Ini juga terpakai kepada mereka yang menghala ke Johor arah selatan. Bagi destinasi berhampiran dengan Lembah Klang dan negeri lain, pengguna perlu merancang perjalanan mereka dengan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagi pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan negeri-negeri lain yang ingin menuju ke Lembah Klang, mereka digalakkan untuk keluar sebelum pukul 9 pagi.

Menurut Zakaria, TTA disediakan untuk panduan pengguna bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

Beliau turut menasihati pengguna agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terutamanya ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah.

"Turut penting adalah pandu dengan selamat dan sentiasa berwaspada ketika keadaan cuaca buruk, justeru rehat dan tidur yang cukup adalah penting sebelum memulakan perjalanan.

"Pasukan peronda lebuh raya Plus, PlusRonda juga sentiasa bersedia membantu sekiranya berlaku sebarang kejadian dan boleh dihubungi menerusi PlusLine, 1800 88 0000,” katanya.

Bagi memastikan perjalanan lancar semasa memasuki dan keluar dari lebuh raya bertol, Zakaria berpesan kepada pengguna supaya memastikan kad Touch ‘n Go dan e-dompet Touch ‘n Go RFID mempunyai baki mencukupi setiap masa.

Kemas kini mengenai keadaan trafik terkini boleh didapati daripada fungsi CCTV perancang perjalanan Aplikasi Plus, Twitter PlusTrafik dan P.U.T.R.I (PLUS Unique Texting Realtime Interface) serta papan tanda elektronik di lebuh raya.

Pengguna lebuh raya juga digalakkan menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps untuk navigasi perjalanan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram