Lelaki lembut maut lepas suntik pembesar punggung


  • 112
  • Rabu, 26 Jan 2022

KES diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

SEORANG lelaki yang baru mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung ditemui meninggal dunia di sebuah bilik hotel di Teluk Intan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berpewatakan lembut itu hadir ke hotel berkenaan bersama rakannya pada jam 9 pagi bagi mendapatkan suntikan tersebut daripada seorang wanita yang juga merupakan peniaga kosmetik dari Melaka dengan harga RM500.

"Mangsa meminta izin untuk berehat di dalam bilik kerana berasa penat selepas selesai suntikan pada kira-kira pukul 12 tengah hari sambil ditemani rakannya manakala wanita itu keluar dari hotel untuk pulang ke Melaka

"Dia disedari tidak bernafas ketika terbaring pada kira-kira 3 petang sebelum rakannya menghubungi wanita itu yang datang semula ke hotel dan mendapati lelaki itu sudah tidak bergerak.," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pihak polis segera ke hotel berkenaan sebaik dimaklumkan kejadian itu dan menemukan si mati terbaring di atas katil dengan memakai baju dan tuala serta bertutup dengan selimut.

Beliau berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir bersama ambulans dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Menurut Ahmad Adnan, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan paru-paru bengkak dan berair.

"Setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian akibat suntikan yang diambil.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram