JPJ nafi penglibatan pegawai dalam sindiket lesen terbang


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jan 2022

TERDAPAT sindiket menawarkan khidmat mendapatkan lesen dengan kadar bayaran rendah tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu. — Gambar hiasan/ART CHEN/The Star

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan pegawainya terlibat dalam sindiket 'lesen terbang' seperti yang tular di laman Twitter baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya kesal dengan tohmahan yang dilakukan itu kerana mencalarkan imej dan reputasi jabatan berkenaan.

"Pemilik akaun itu berkongsikan tangkap layar akaun Instagram menggunakan nama Smart Driving Academy dipercayai menawarkan khidmat mendapatkan lesen dengan kadar bayaran rendah tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

"Modus operandi ini sering kali digunakan sindiket melalui platform media sosial dengan mempromosikan iklan 'lesen terbang' selain menggunakan gambar Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk meyakinkan orang ramai membuat bayaran sebelum sindiket bertindak menghilangkan diri.

"Kenyataan di tangkap layar itu turut menyatakan pihak Smart Driving Academy menjalankan kegiatan tersebut dengan penglibatan pegawai atasan JPJ selain pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Justeru, menurut Zailani, pihaknya mengambil tindakan susulan dari segi siasatan yang akan dijalankan dengan kerjasama SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain Cyber Security bagi mengesan pemilik akaun di media sosial yang menjalankan operasi sindiket penipuan terbabit.

Tambahnya, JPJ turut melaksanakan pelbagai pendekatan dalam mengekang penglibatan warga kerjanya daripada terlibat aktiviti tidak berintegriti tersebut.

"Antaranya inisiatif pembangunan sistem yang mewajibkan pengesahan ID penyelia atau pegawai kanan sebelum sebarang transaksi pengeluaran LLM dilaksana serta pemantauan dan pengauditan urus niaga di bawah ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS).

"Pihak JPJ juga menegaskan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku membabitkan warga kerja yang melibatkan integriti, salah guna kuasa dan rasuah khususnya melibatkan aktiviti 'lesen terbang' seperti didakwa pemilik akaun Twitter terbabit," katanya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk tawaran seumpama itu yang jelas tidak mengikut peraturan dan undang-undang digariskan JPJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram