Sawah kering, petani di Pasir Puteh bakal rugi lebih RM500,000


  • Massa
  • Sabtu, 29 Jan 2022

PETANI meninjau keadaan tali air di bendang Gong Datuk yang kering susulan musim kemarau. — Bernama

LEBIH 150 petani di lima buah kampung di sekitar jajahan Pasir Puteh, Kelantan berdepan kerugian modal pusingan lebih RM500,000, apabila tanaman padi mereka terjejas kerana sawah kekeringan air, akibat kemarau sejak sebulan lepas.

Timbalan Ketua Kelompok, Wan Muhammad Kozani Wan Yusuff, 59, berkata, mereka merayu kepada pihak berwajib supaya menempatkan pam air di kawasan strategik, bagi membantu mengatasi masalah itu yang menimpa kawasan sawah melibatkan keluasan 200 hektar, di Kampung Gaal, Wakaf Bunut, Gong Datuk, Kok Jering dan Gong Kedakding.

"Tanaman padi kami sekarang sangat memerlukan air bagi proses mengeluarkan buah dan bagi kerja menabur baja, tetapi sejak sebulan lepas tiada hujan, menyebabkan tanahnya merekah,” katanya kepada media di Bendang Gong Datuk, pada Sabtu.

Beliau berkata, masalah tersebut berlaku disebabkan kawasan bendang di lokasi terlibat cuma bergantung kepada air hujan, selepas parit jejari yang dibina pihak berwajib tidak berfungsi sejak beberapa tahun lepas.

Seorang pesawah, Ab Rahim Ab Rahman, 62, berkata, ini adalah kali pertama beliau menghadapi masalah seumpama itu.

"Kebiasaannya pada bulan Januari sehingga Mac hujan masih turun dan mencukupi bagi keperluan sawah.

"Saya pernah memperoleh hasil sebanyak RM50,000 setiap musim, tetapi tahun ini nasib kami masih terumbang-ambing,” katanya yang mengusahakan sawah seluas 37 hektar.

Seorang petani dari Kampung Kedakding, Zawawi Mamat, 68, berkata, pam air boleh diletakkan di sebatang sungai, kira-kira 400 meter dari kawasan bendang yang terjejas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

petani, padi, kemarau, sawah, kering, Pasir Puteh, Kelantan