Tumpahan minyak di Thailand merebak ke pantai


  • Benua
  • Sabtu, 29 Jan 2022

DIANGGARKAN sebanyak 50,000 liter minyak telah tersebar di laut akibat kebocoran itu. — Agensi

PANTAI di timur Thailand diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada Sabtu selepas kawasan itu dicemari minyak yang bocor dari saluran paip bawah air di Teluk Thailand yang terus dihanyutkan ke darat dan menghitamkan pasir.

Kebocoran daripada saluran paip milik Star Petroleum Refining Public Company Limited (SPRC) bermula pada Selasa dan dapat dikawal sehari kemudian selepas menumpahkan anggaran 50,000 liter minyak ke dalam lautan, 20 kilometer (km) dari pesisir pantai timur perindustrian negara itu.

Sebahagian daripada minyak mencemari pantai Mae Ramphueng di wilayah Rayong pada Jumaat selepas tersebar lebih 47km persegi laut di teluk itu.

Tentera laut sedang bekerjasama dengan SPRC untuk membendung kebocoran itu dan berkata minyak yamg bocor masih berada di luar pesisir dengan hanya sejumlah kecil terkumpul di sekurang-kurangnya dua tempat di sepanjang pantai sepanjang 12km itu.

Kira-kira 150 pekerja SPRC dan 200 anggota tentera laut dikerahkan untuk membersihkan pantai dan penghalang minyak daripada terus merebak telah disediakan, kata tentera laut.

12 kapal tentera laut dan tiga kapal awam bersama beberapa pesawat juga sedang berusaha untuk menahan tumpahan di laut.

"Kami dan syarikat itu masih bekerja di laut untuk mengurangkan jumlah minyak dengan membelokkan tumpahan dan menyedut minyak serta menyembur dispersan," kata timbalan komander pertama Kawasan Tentera Laut, Laksamana Muda Artorn Charapinyo. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

minyak, thailand, pantai, bencana, pencemaran