POLIS menahan lima lagi penarik kereta menjadikan jumlah keseluruhan 10 orang bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu George Town, Pulau Pinang pada Rabu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dua telah dilepaskan dengan jaminan polis manakala lapan lagi masih direman selama lima hari sehingga 31 Januari.
Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 54 tahun dan berasal dari negeri itu.
"Suspek yang masih direman ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk siasatan lanjut.
"Enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal polis didapati kesemuanya negatif," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebelum ini, polis menahan lima lelaki penarik kereta selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan melibatkan 20 individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Pergaduhan berlaku selepas satu kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah Bayan Lepas menghala ke pusat bandar.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Insiden melibatkan sekumpulan individu itu telah dirakam orang awam dan tular di media sosial sejak petang Rabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram