Tiga maut kemalangan di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 27 Jan 2022

KENDERAAN yang terbabit dalam nahas di Desa Bidara Jalan Muadzam-Gambang, Kuantan, Pahang pada Khamis. — Bomba Pahang

TIGA lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kereta di Desa Bidara Jalan Muadzam-Gambang di Kuantan, Pahang pada Khamis.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, panggilan kecemasan mengenai kemalangan melibatkan kereta jenis BMW dan Proton jenis Iswara diterima melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 kira-kira pada jam 4.28 pagi.

Ujar beliau, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah ke lokasi kejadian dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT).

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak kita mendapati terdapat tiga lelaki dewasa yang menaiki kereta Proton Iswara tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelanggaran itu.

"Dua lagi lelaki yang menaiki kereta BMW pula mengalami cedera ringan dan mereka diberi rawatan awal oleh pihak hospital," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan Resque Power Unit.

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram